BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, October 12, 2009

‘Sentuhan ajaib’ mengubah Neo Nazi kepada muslim

Susunan: SITI AINIZA KAMSARI
PADA dunia Barat, rakyat British bernama David Wulstan Myatt, 56, begitu digeruni. Ini kerana dengan membawa fahaman Neo Nazi yang ekstrem dan ganas, beliau mampu memberikan ancaman keselamatan kepada masyarakat Barat.

Selama 25 tahun Myatt mempelopori dan memperjuangkan fahaman anti zionis (yahudi), anti bangsa kulit hitam, anti penduduk Asia dan anti kerajaan Amerika Syarikat di Britain.

Bagaimanapun, setahun selepas beliau menulis satu risalah panjang di sebuah laman web bertajuk Practical Guide to Aryan Revolution pada November 1997, Myatt secara tiba-tiba telah mengambil satu tindakan yang tidak disangka-sangka. Dia mengejutkan banyak pihak dengan memeluk Islam.

Bagaimana seorang yang disifatkan ganas dan tidak kenal erti berkompromi itu akhirnya memeluk Islam serta mahu dikenali dengan nama barunya iaitu Abdul Aziz Ibn Myatt?

Dalam satu rencana baru-baru ini, Abdul Aziz berkata, takdir Allah telah membawanya pada suatu pagi Ahad yang hening untuk berhenti di hadapan sebuah masjid ketika melancong seorang diri ke Mesir.

Hatinya secara tiba-tiba menjadi begitu ikhlas untuk memasuki masjid itu dan pada saat itu juga Abdul Aziz kebetulan terdengar seruan azan menyebabkan beliau terus terpaku dan terpana.

Walaupun azan itu berlangsung dalam masa hanya beberapa minit tetapi ia berjaya membuatkan hati dan jiwa Abdul Aziz menjadi tidak menentu.

“Saya menjadi tidak mengerti dengan perasaan sendiri pada masa itu yang sukar hendak diungkapkan melalui kata-kata tetapi yang pasti sayu dan pilu menyelubungi saya akibat dipanah oleh keindahan alunan azan itu.

“Ia indah bukan kerana melodi. Tetapi saya hairan bagaimana dengan tanpa memahami maksud perkataan dalam azan itu ia mampu menyentuh jiwa saya. Tidak semua lagu boleh berbuat begitu,’’ kata Abdul Aziz.

Sejak itu, Abdul Aziz mula memberi respons terhadap Islam dengan bertanyakan mengenai agama itu daripada beberapa penduduk Mesir dan mendapatkan terjemahan al-Quran bagi mengenali Islam secara lebih dekat lagi.

“Tetapi ego dan sombong saya sebagai orang Barat masih tebal. Saya masih terlalu percayakan diri sendiri dan apa yang saya pegang selama ini. Kalau saya perlu berubah, saya mampu melakukannya sendiri tanpa perlu campur tangan atau disentuh secara ajaib oleh mana-mana pihak.

“Namun apabila saya memilih pekerjaan baru iaitu menghabiskan banyak masa di ladang, saya mula diresapi hidayat daripada Allah dengan mempelajari sesuatu daripada alam,” katanya.

Walaupun sebagai seorang yang sangat rasis, Abdul Aziz sebelum ini turut mempunyai kepercayaan bahawa alam ini atau Mother of the Earth adalah satu bentuk kekuasaan tertinggi atau ketuhanan atas sifat yang kononnya tercipta dengan sendiri.

“Sehinggakan saya percaya bumi yang tidak dijaga, yang tercemar menyebabkan kemarahan itu dinampakkan dalam bentuk gempa bumi, banjir sehinggalah kepada letusan gunung berapi.

“Tetapi apabila masa banyak dihabiskan pada tanah dan ladang, akhirnya saya menyedari bumi ini tidak lebih daripada sebahagian daripada seluruh kosmos (alam semesta) yang pasti ada pemiliknya. Dan saya sendiri adalah sebahagian anggota kosmos itu.

“Tetapi siapa pemilik alam itu?”

Hatinya mula terdetik dengan pertanyaan demi pertanyaan.

Buat pertama kalinya, Abdul Aziz tunduk pada ego dan kesombongannya sendiri dan benar-benar berasa sangat rendah diri. Beliau kemudian mengeluarkan senaskhah al-Quran terjemahan yang diperoleh semasa melancong di Mesir dan mula membacanya.

“Daripada satu ayat kepada ayat yang lain dan daripada satu surah ke surah yang lain, apa yang saya peroleh kemudiannya hanyalah logik, penjelasan, kebenaran, wahyu, keadilan, kemanusiaan dan keindahan sebuah agama.

“Apabila dalam al-Quran juga ada menyebut mengenai kejadian alam malah diungkap dengan begitu logik. Saya benar-benar kagum kerana ia membuka lembaran untuk umatnya mengenali kekuasaan Allah melalui ciptaan seluruh alam semesta ini.

“Barulah saya faham umat Islam mendalami ilmu pengetahuan bukan sekadar sebagai satu tanggungjawab malah satu tugas yang mesti dilakukan. Apatah lagi al-Quran mampu dijadikan sandaran dan panduan untuk meluaskan lagi pengetahuan,” katanya.

Abdul Aziz sebelum ini telah banyak mengkaji dan membaca falsafah dan ajaran daripada Lao Tzu, Confucious, Buddha, Plato, Patanjali sehinggalah Descartes.

“Malah saya turut mengkaji kitab Injil sehingga saya pernah menjadi paderi Kristian selama dua tahun, tetapi itu semua tidak dapat menandingi ilmu yang saya peroleh melalui al-Quran dan sirah Rasulullah.

“Saya akhirnya melafazkan kalimah syahadah dan gembira dengan kepercayaan baru ini. Namun, mempunyai kepercayaan sahaja tidak mencukupi lebih-lebih lagi dengan pelbagai cabaran dunia moden hari ini. Dengan dunia materialistik, bagaimana saya mampu untuk melaluinya?” soal Abdul Aziz.

Perlahan-lahan beliau belajar menghargai kehidupan dan menyedari betapa perlunya Islam dalam dunia yang serba moden hari ini.

Tanpa pegangan terhadap Tuhan dan agama, betapa manusia mudah menjadi lupa diri, sombong, tidak menghormati orang lain, tidak sopan dan kasar. Jadi kita perlukan Islam supaya masyarakat dunia tidak menjadi bangsa barbarian, kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Abdul Aziz sedar penglibatan beliau dalam gerakan Neo Nazi dahulu melebihi batas-batas kemanusiaan. Sesetengah orang menganggap bahawa tidak ada cara baginya untuk kembali ke pangkal jalan dan tidak ada agama dapat memaafkan semua perbuatan jahatnya itu. Tetapi kata-kata seorang ulama, Sheikh Muhammad Al Munajjid, menjadi pegangan beliau.

“Allah menerima semua permohonan taubat daripada hamba-Nya tanpa melalui sebarang perantaraan atau orang tengah. Apalagi beberapa orang sahabat Rasulullah sebelum mereka memeluk Islam merupakan penjenayah yang melakukan pelbagai jenayah termasuk berzina, membunuh, menanam anak perempuan hidup-hidup, merampas hak dan harta orang lain.

“Tetapi apabila mereka memeluk Islam, mereka menjadi yang paling baik di kalangan manusia dan paling bertakwa dan beriman kepada Allah. Tidak ada sesiapa boleh mempersoalkan masa silam dan gelap seseorang itu kerana Allah telah mengampunkan dosanya. Dengan kehidupan yang baru ini bermakna seseorang itu bersih daripada segala dosa.

“Saya tidak bermaksud untuk memeluk Islam untuk lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab atas apa yang telah saya lakukan sebelum ini,’’ katanya.

Ini kerana Abdul Aziz teringat akan kata-kata hikmah daripada Saidina Ali: “Jika seseorang itu beriman kepada Allah semata-mata untuk mendapatkan ganjaran, ia adalah iman seorang ahli perniagaan. Jika beriman kerana takut kepada-Nya, maka jadilah imannya seperti seorang hamba sahaya yang takut kepada tuannya.

“Tetapi jika kerana bersyukur dan berterima kasih kepada semua nikmat yang diberi Allah maka itu adalah iman seorang yang merdeka jiwanya.

“Maka saya berharap untuk memerdekakan jiwa saya daripada belenggu kejahilan agar beroleh iman untuk hidup yang lebih sejahtera di dunia dan di akhirat kelak.’’

Abdul Aziz menyedari tindakannya memeluk Islam tidak senangi lawan dan kawan.

“Saya tahu perjalanan hidup saya tidak akan menjadi mudah bagai disangka kerana apabila saya kini membelakangi perjuangan Neo Nazi, golongan pro zionis terus mengambil kesempatan untuk menaburkan pelbagai fitnah, penipuan dan khabar-khabar angin yang tidak baik, termasuk mengatakan saya tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap Allah. Ia dibuat dengan tujuan menjatuhkan saya.

“Ia adalah kesilapan saya juga kerana tidak pernah membalas balik kata-kata mereka itu secara terbuka.

“Tetapi bagi mereka yang kuat berpegang kepada ajaran Allah, kita perlu berhati-hati dengan setiap berita yang mereka terima. Alhamdulillah, kalangan umat Islam mengetahui bahawa saya masih berpegang teguh dengan Islam,’’ katanya. Lagipun, kata Abdul Aziz, memeluk Islam bukan semudah dengan hanya lafaz dan kata-kata.

“Malah ia kuat beriringan dengan satu sumpah, satu perjanjian dengan Allah, tidak mungkin semudah itu saya hendak meninggalkan Islam setelah hati saya begitu ikhlas untuk menerima agama itu,’’ katanya.

Malah menjadi tanggungjawab Abdul Aziz kini untuk bersama-sama dengan umat Islam yang lain bagi mempertahankan agama itu daripada kata nista dan cercaan golongan Zionis itu.

“Tugas itu kini tidak semestinya dalam satu bentuk tindakan yang agresif apatah lagi bersifat ganas.

“Sebagaimana saya yang pernah jahil, kebanyakan orang Barat hanya perlukan satu penjelasan yang kukuh mengenai Islam, kadangkala itu lebih efektif dan mampu membuang jauh semua prejudis mengenai Islam,’’ ujarnya.

Selepas lapan tahun memeluk Islam, Abdul Aziz yang masih mengekalkan imej berjambang hidup secara lebih sederhana tetapi yang lebih mengagumkan beliau semakin mengenali Islam.

Setiap hujah mampu dikuatkannya dengan dalil sama ada secara aqli atau naqli berkat penghayatan yang kuat terhadap al-Quran walaupun ia hanya menerusi naskhah terjemahan.

Utusan Malaysia
16hb March 2006

0 ulasan: